Pages

Tuesday, September 16, 2014

Peranan Sebagai Seorang Usahawan




Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri dalam memilih kerja. Faktor-faktor penting seperti gaji, tempat tinggal, kemudahan yang disediakan dan sebagainya menjadi titik tolak penerimaan seseorang dalam sesuatu pekerjaan. Begitu juga dalam konteks ini, terdapat pelbagai sebab yang mendorong masyarakat memilih menjadi usahawan atau berniaga dan sebab-sebabnya adalah seperti berikut;

Trend masa kini. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, suka mencuba sesuatu yang menjadi perhatian. Sehubungan itu suatu produk baharu di pasaran akan sentiasa mendapat permintaan tinggi apatah lagi jika produk berkenaan menepati cita rasa pengguna. Tidak memerlukan modal yang banyak. Boleh memulakan perniagaan yang sesuai dengan modal yang ada. Keberangkalian kerugian juga adalah rendah. 

Tidak memerlukan kepakaran atau pengetahuan khusus. Mungkin bagi mereka yang berpendidikan rendah ini merupakan peluang yang dinanti-nantikan. Kepakaran dalam berkomunikasi adalah yang terpenting. Hal ini kerana pekerjaan jenis ini memerlukan daya tarikan untuk menarik pembeli atau pengguna.Tiada bos. Selain itu tiada arahan itu ini daripada bos atau majikan juga memberikan kepuasaan kepada mereka yang memilih kerjaya sebagai peniaga atau usahawan. Orang yang suka bekerja bebas tanpa arahan selalunya condong memilih bekerja sendiri. 

Kerja sampingan. Menambah dan mengukuhkan pendapatan dengan membuat sebarang perniagaan sebagai kerja sampingan juga popular masa kini. Minat turut mendorong seseorang melibatkan diri dalam bidang ini. Walaupun mempunyai kerjaya tetap namun masih meninggalkan sedikit ruang untuk memenuhi kepuasan peribadi. Guru contohnya yang ramai melibatkan diri dalam bidang berniaga secara kecil-kecilan. Namun begitu semangat yang kuat perlu ada dalam setiap diri mereka yang ingin melangkah ke alam keusahawanan kerana tidak semuanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Fenomena pasang surut sering berlaku mengikut keadaan semasa dan usaha. Kekayaan dan risiko kedua-duanya terletak dalam tangan yang mengusaha.   

Tambahan pula, "Allah tidak akan menolong sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri menolong dirinya". Ini menunjukkan tanpa usaha, tidak akan ada pembangunan. Pembangunan negara, khususnya pembangunan ekonomi, bergantung kepada manusia yang mengejar peluang-peluang ekonomi. Pembangunan ekonomi bergantung kepada manusia yang berupaya menggembleng faktor-faktor pengeluaran. Manusia itu adalah usahawan.

Secara jelas, keusahawanan boleh menyumbang kepada pembangunan. Implikasi pembangunan ialah kehidupan yang selesa. Rezeki yang mencukupi dan melebihi, menyumbang ke arah kehidupan dan kemakmuran bersama. Keusahawanan juga meningkatkan kualiti kehidupan dengan penemuan demi penemuan dan ini meluaskan pilihan pengguna. Keusahawanan membanyakkan peluang mata pencarian dan menyumbang ke arah produktiviti kebangsaan. Keusahawanan membantu ke arah pengagihan pendapatan yang lebih saksama seterusnya membawa kebaikan sosial melalui pengembalian sejumlah pendapatan kepada negara dalam bentuk pengembalian wajib seperti cukai dan zakat, mahu pun yang sukarela. Bukankah Islam sendiri menyatakan " sembilan persepuluh rezeki, itu di dalam perniagaan."

Secara ringkas bolehlah dikatakan usahawan itu berperanan :-

1-      Menyumbangkan Idea Dan Pembaharuan
Dalam konteks perhubungan usahawan dengan firmanya, usahawan adalah sumber utama idea dan pembaharuan. Idea dan pembaharuan tidak semestinya terlalu unik, peningkatan daripada idea yang sedia ada juga merupakan sesuatu yang bernas. Untuk memainkan peranan ini usahawan harus sentiasa berpemerhatian dan berfikiran terbuka.

2-      Merancang
Daripada idea dan penyerlahan peluang, usahawan merancang. Perancangan strategik harus mengambilkira apa yang ada, yang tiada dan yang bakal ada. Perancangan menentukan apa yang diperlukan. Oleh itu penggembelingan faktor pengeluaran, harta, tenaga dan modal harus menyusul.

3-      Mengurus / Mengeluar / Mengedar / Menanggung Risiko
Sumber-sumber seterusnya diurus, dikeluarkan hasil dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Penentuan hasil pengeluaran dan sasaran pasaran amat penting. Sepanjang usaha usahawan itu, dari mula terbitnya idea hingga ke penawaran barangan dan perkhidmatan, ianya tidak dapat lari dari berbagai ketidakpastian dan inilah yang dikatakan risiko. Sebaik mana sekalipun perancangan, kekuasaan manusia memang terbatas. Risiko-risiko yang banyak dan kadang-kadang tidak terduga bila timbulnya, adalah tanggungan usahawan.

4-      Menawarkan Peluang Pekerjaan
Usahawan menawarkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja yang sesuai. Dengan wujudnya industri dari pihak usahawan secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kesannya kadar pengangguran semasa akan menurun.

5-      Menyediakan Pilihan Dan Penawaran Serta Memenuhi Kehendak Pengguna
Penggunaan tenaga kerja yang bersesuaian dan peningkatan kemahiran tenaga kerja dari masa ke semasa akan mempertingkatkan produktiviti. Hasilnya usahawan dapat pula menyediakan pilihan dan penawaran yang lebih banyak dan lebih baik kepada pengguna. Pengguna mempunyai cita rasa yang pelbagai dan adalah menjadi tugas seorang usahawan untuk memenuhi kehendak dan keperluan tersebut.

6-      Menyumbangkan Kebajikan Dan Kepimpinan
Memenuhi keperluan asas masyarakat akan menyumbangkan ke arah peningkatan kebajikan masyarakat. Sumbangan peribadi dalam bentuk derma, zakat dan sebagainya juga merupakan bentuk kebajikan. Dalam memainkan peranan-peranannya, usahawan sesungguhnya menunjukkan kepimpinannya. Peluang kepimpinan tidak semestinya dalam dunia perniagaan semata. Kepakaran dan pengalaman usahawan juga diperlukan dalam pendidikan, pentadbiran negara dan sosial. 

7-      Peluang untuk mengawal nasib sendiri
Peluang memiliki perniagaan sendiri sememangnya impian bagi setiap individu yang bergelar usahawan. Usahawan yang memiliki perniagaan sendiri bebas memainkan peranan dalam usaha untuk mencapai matlamat peribadi. Sekira dia ingin berjaya dalam hidupnya, dia boleh berusaha dengan lebih gigih lagi. Misalnya seorang usahawan yang memerlukan tambahan modal untuk membesarkan perniagaannya dia boleh bekerja lebih masa atau menjual barang dengan harga yang lebih murah supaya dia mendapat jualan yang banyak dan keuntungan dapat ditingkatkan. Berbagai-bagai cara dapat dilakukan oleh beliau untuk mengawal nasibnya sendiri.

8-      Peluang untuk mencapai potensi sebenar
Untuk mencapai matlamat yang diimpikan seorang usahawan harus menggunakan semua potensi, kemahiran dan keterampilan yang dimiliki untuk menghadapi sebarang halangan dan rintangan untuk mencapai hasratnya. Di sini juga ia akan bertindak diluar jangkaannya sendiri. Tercapai atau tidak matlamatnya selalunya tidak begitu penting setelah berusaha melakukan yang terbaik. Dia akan berpuas hati dan merasa gembira apabila segala potensi yang ada telah digunakan.

9-      Peluang untuk memperolehi keuntungan
Mendapat untung sememangnya salah satu matlamat seorang usahawan dalam menjalankan perniagaan. Pelanggan selalunya menjadi ganjaran kepada usaha yang gigih. Dalam banyak keadaan keuntungan menunjukkan kejayaan dan mencerminkan kerajinan, kepintaran dan kreativiti terhadap perniagaannya.

10-  Peluang untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara
Peranan usahawan terhadap masyarakat dan negara amat besar, seorang usahawan yang berjaya akan menjadi contoh kepada masyarakat. Ia juga dapat mengharumkan nama negara kerana usaha-usaha murni yang telah ditunjukkan.
Selain daripada peranan yang dinyatakan seperti di atas, peranan sebagai usahawan juga boleh dilihat dari dua sudut iaitu dari aspek mikro dan aspek makro.

Aspek mikro
·         sebagai sumber idea dan pembaharuan
·         sentiasa melihat masalah yang wujud sebagai peluang idea perniagaan
·         melaksanakan perancangan strategik bagi merealisasikan idea perniagaan
·         berhadapan dengan kekaburan, ketidakpastian, dan risiko kemungkinan kegagalan

Aspek makro
·         mewujudkan peluang pekerjaan
·         meningkatkan taraf hidup rakyat
·         membangunkan industri sokongan
·         mempelbagaikan barangan di pasaran seiring dengan peningkatan teknologi
·         menggunakan sumber dengan cekap
·         perniagaan turun temurun yang diwarisi
·         sebagai model ikutan masyarakat.

2 comments:

  1. mohon copy untuk assignment saya..terima kasih..semoga dirahmati

    ReplyDelete
  2. Mohon kebenaran untuk meminjam idea untuk teks saya, terima kasih!

    ReplyDelete