Pages

Monday, September 22, 2014

Mengapa memilih tokoh usahawan tersebut?


Antara tokoh-tokoh usahawan yang berjaya di Malaysia seperti Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary , Dato’ Haji Ramly bin Mokni, Datuk Maznah Hamid dan Tan Sri Dato’ Sri Dr Tony Fernandes yang merupakan usahawan yang berjaya mengembangkan perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa. Saya memilih empat orang usahawan tersebut kerana mereka mempunyai personaliti sebagai seorang usahawan yang sentiasa gigih berusaha, bermotivasi serta tidak mudah berputus asa dalam memajukan perniagaan yang telah mereka ceburi. Contohnya, usahawan wanita iaitu Datuk Maznah Hamid yang telah menubuhkan Securiforce kira-kira 27 tahun yang lalu dan telah menjadi pembekal keselamatan terbesar sehingga kini di Malaysia. Ketika beliau ingin memulakan perniagaannya, beliau hanya mempunyai modal sebanyak RM5000 di dalam simpanannya tetapi beliau tetap ingin membuka perniagaan tersebut walaupun tidak mempunyai modal yang besar. Hasil daripada semangat serta usaha gigih beliau, kini beliau sudah memiliki 50 cawangan dengan pekerja yang mencecah 5000 orang.
Selain itu,Tan Sri Dato’ Sri Dr Tony Fernandes juga merupakan seorang tokoh korporat tanah air yang disegani kerana kejayaannya mencetus revolusi dalam industri penerbangan rantau asia. Bagaimanapun, kejayaan yang dibinanya sejak enam tahun lalu itu, bukannya datang bergolek kerana beliau terpaksa melalui ‘’ranjau dan duri’’ sebelum berjaya membina firma penerbangan tambang murah Air Asia Bhd. Sehinggalah dikenali diperingkat antarabangsa pada masa ini. Tan Sri Dato’ Sri Dr Tony Fernandes bukanlah seorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan ini kerana beliau pada asalnya telah menceburi bidang muzik. Sifat Tan Sri Tony Fernandes  yang perlu dikagumi ialah apabila sesuatu minat wujud dalam dirinya, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapainya. Pada tahun 2001, beliau berhenti dari bidang rakaman muzik dan mula menubuhkan Air Asia bersama rakan-rakan muziknya. Bagaimana beliau menceburi perniagaan ini apabila idea untuk menubuhkan syarikat penerbangan datang secara spontan semasa beliau berada di London, ketika menonton televisyen. Beliau telah menubuhkan syarikat penerbangan bersama kawan karibnya iaitu Datuk Kamarudin Meranum. Tambahan pula, beliau bijak mengatur strategi dalam membangunkan perniagaannya yang tidak terbatas pada strategi pemasaran dan produk semata-mata tetapi ia mencakupi dari semua aspek termasuk pengurusan bisnes seperti pengurusan pasukan kerja yang berkesan dan memastikan pengurusan yang efektif. Hal ini kerana, hanya dengan melalui pengurusan kos yang efektif sahaja akan membolehkan Air Asia terus menawarkan harga tambang penerbangan yang rendah kepada pelanggan-pelanggannya. Justeru itu, perniagaan yang dilakukan oleh Tan Sri Dr Tony Fernandes dapat berkembang maju dengan pantas serta memperolehi keuntungan yang besar dalam tempoh yang singkat.
Di samping itu, tokoh usahawan yang ketiga ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary  yang merupakan antara ahli perniagaan dan jutawan Melayu yang terkaya di Malaysia serta juga digelar  oleh masyarakat sebagai ‘’jutawan dermawan’’. Dilahirkan pada tahun 1951 di Alor Setar, Kedah, dari keluarga yang berasal dari Hadhramawt, Yemen dan mempunyai tujuh orang adik-beradik,  Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam serba kekurangan pada usia mudanya. Atas faktor kesempitan hidup, beliau hanya mampu bersekolah hingga ke Tingkatan Lima untuk memberi laluan kepada adik-beradik yang lain meneruskan pelajaran.
Kisah kejayaan dalam bidang perniagaan beliau bermula dengan membantu ibu dan bapanya berniaga lembu sekitar tahun 1960-an. Namun perniagaan lembu mereka tidak bertahan lama ekoran wabak penyakit yang melanda pada ternakan mereka. Oleh itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil inisiatif lain dengan meminta bantuan MARA, seterusnya memulakan perniagaan lori pada tahun 1970-an. Syarikat lori yang dikenali sebagai Syarikat Kenderaan Sentosa kini memiliki lebih daripada 40 buah lori.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary merupakan usahawan yang saya kagumi kerana beliau terkenal sebagai seorang yang berpandangan jauh dan tidak berputus asa serta kejayaan yang beliau capai sekarang perlu dijadikan sebagai contoh bagi usahawan-usahawan muda atau yang baru menceburi bidang perniagaan. Namun begitu, usaha beliau tidak terhenti pada tahap itu sahaja kerana pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar telah membeli rumah kedai beliau yang pertama di bawah perjanjian sewa beli dengan Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA).  Pada tahun berikutnya, beliau mengembangkan lagi empayar perniagaannya dengan menubuhkan Syarikat Shah sebagai pembekal beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan Sergam Sdn Bhd setelah berjaya memperolehi lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara atau BERNAS. Tan Sri Syed Mokhtar menyifatkan kejayaan beliau dalam perniagaan adalah hasil langkah kerajaan dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sejak dari itu, perniagaan milik Tan Sri Syed Mokhtar terus berkembang pesat hingga beliau dianugerahkan sebagai salah seorang tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia, seterusnya mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Business sebagai orang ke-7 terkaya di Malaysia pada tahun 2005 dan orang ke-50 terkaya di Malaysia oleh Forbes pada tahun 2013 baru-baru ini. Walaupun beliau tidak mempunyai pendidikan yang tinggi namun beliau tetap berjaya sehingga sekarang hasil daripada sikap berani serta usaha gigih yang ditunjukkan oleh beliau dalam industri perniagaan ini.


No comments:

Post a Comment