Pages

Wednesday, September 17, 2014

Manfaat Dalam Menjadi Seorang Usahawan

        Bidang keusahawanan kini merupakan salah satu bidang yang penting dalam industri Malaysia. Pendapatannya turut menyumbang kepada pembangunan negara. Peranan usahawan bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara dari segi ekonomi khususnya bahkan ia juga melibatkan kepada struktur perniagaan dan masyarakat. Keusahawanan melalui proses kreativiti dan inovasi mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan yang diperlukan untuk memenuhi kehendak masyarakat. Di dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang baik, usahawan akan mencari kaedah yang lebih baik untuk memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran. Dengan ini, masyarakat akan mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah. Selain itu pertumbuhan dalam bidang keusahawanan yang memberangsangkan sektor ekonomi secara langsung membuka peluang pekerjaan kepada segelinap masyarakat sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.

            Usahawan juga membantu memperbaiki mutu kehidupan masyarakat melalui produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan. Usahawan adalah individu yang bukan hanya mencipta kekayaan tetapi turut mendorong pembahagian kekayaan. Dalam Islam juga ada menyebut tentang kebaikan berniaga dan menjadi seorang usahawan. Buktinya, Islam sangat mengiktiraf keusahawanan sebagai salah satu daripada cabang ibadat sehingga mengakui 90 peratus daripada sumber rezeki datangnya daripada hasil perniagaan. Sejarah keusahawanan Islam telah bermula sejak kejadian manusia di mana dua orang anak Nabi Adam a.s iaitu bapa kepada semua manusia melopori dua bidang utama keusahawanan. Anak pertama Habil mempelopori bidang pertanian manakala adiknya Qabil mempelopori bidang penternakan. Selain itu sejarah Islam turut menyaksikan kebanyakkan nabi yang diutuskan Allah S.W.T telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sama ada dalam bidang pertanian, ternakan, pertukangan dan perniagaan yang bukan sekadar di peringkat dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.

            Antara kepentingan atau manfaat keusahawanan lain ialah meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan merupakan salah satu strategi membasmi kemiskinan. Pendedahan demi pendedahan akan kepentingan bidang keusahawanan membuka mata masyarakat untuk menceburinya. Hanya mahu atau tidak mereput peluang ini sahaja kerana peluang sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin mencuba. Dalam keusahawanan kita dapat mempelajari pelbagai ilmu baru, bukan setakat mengetahui selok- belok menjalankan perniagaan. Komunikasi lebih lancar dan dengan cara yang betul juga dapat diperbaiki apabila mereka berhubung sesama usahawan juga para pelanggan. Selain itu melalui keusahawanan seseorang mempunyai kemahiran khusus yang orang lain tidak ketahui iaitu menguasai ilmu tentang produk yang dijual. Sebagai contoh seorang usahawan menjual barang kosmetik, secara tidak langsung ia harus mengetahui kegunaan, kebaikan sesuatu produk kepada individu tertentu mengikut kesesuaian, bahan-bahan yang terkandung dalam produk-produk berkenaan, cara-cara pemakaiannya atau penggunaannya dan lain-lain.

            Apa yang dapat dirumuskan ialah keusahawanan merupakan bidang yang banyak membuka peluang kepada masyarakat melayakkan diri untuk bersaing membangunkan kemajuan diri dalam segelinap sudut. Pelbagai manfaat yang diperolehi daripada keusahawanan harus disedari semua.

2 comments: